PASIR MAS: Lima kes positif COVID-19 dikesan dalam kalangan mangsa banjir setakat ini di pusat pemindahan sementara (PPS) Sri Kiambang, Rantau Panjang di sini, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin.

Beliau berkata empat pesakit ialah kontak rapat kepada mangsa pertama iaitu lelaki berusia 30-an yang dikesan positif semalam.

"Kontak rapat itu ialah isteri, dua anaknya dan seorang lagi saudaranya telah diasingkan dekat bilik khas di PPS berkenaan bagi mengelakkan sebarang jangkitan berlaku terhadap mangsa banjir yang lain," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Zaini berkata seramai 18 lagi mangsa banjir di PPS itu telah menjalani ujian saringan COVID-19 bagaimanapun didapati negatif.

Semalam, Bernama melaporkan seorang lelaki yang ditempatkan di PPS Sri Kiambang dikesan positif COVID-19 selepas mengadu batuk dan demam sebelum menjalani ujian saringan yang dijalankan pihak Kementerian Kesihatan (KKM).

-- BERNAMA